KUANTAN, 15 JANUARI 2022 : Kejadian banjir yang berlaku bermula 18 Disember tahun lalu di Lembah Klang dan disusuli di Negeri Pahang adalah akibat daripada perubahan iklim dunia yang ketara.
Dekan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Hazandy Abdul Hamid berkata, pada tahun lalu, pelbagai kejadian bencana telah berlaku di seluruh dunia dan kebanyakannya kejadian bencana yang terburuk berlaku akibat daripada perubahan iklim dunia yang ketara.
“Kesan perubahan iklim mendadak ini bukan sahaja dapat dilihat di benua Eropah seperti di Jerman, Austria, Croatia, Republik Czech, Italy, Luxembourg, Switzerland dan Romania pada 12-15 Julai 2021 yang mengalami banjir besar malah ia juga turut melibatkan kawasan di benua Asia seperti Shizuoka di Jepun yang berdepan masalah hujan lebat berpanjangan selama beberapa hari sehingga mengakibatkan banjir dan tanah runtuh pada 3 Julai 2021,” katanya.
Beliau berkata, kejadian banjir yang dahsyat di Malaysia bermula dengan banjir yang teruk yang direkodkan setinggi 10 kaki di negeri Sabah dan Sarawak di sekitar kawasan Hulu Baram, kawasan di hilir dan Kampung Cina di daerah Marudi pada Mei 2021.
Katanya, ia diikuti dengan kejadian kepala air direkodkan berlaku pada 18 Ogos 2021 di mana fenomena kepala air secara mengejut di kawasan Gunung Jerai yang meragut empat nyawa.
“Disusuli dengan kejadian banjir yang melanda tiga daerah lain iaitu Baling, Pokok Sena dan Pendang pada bulan Oktober.
“Kemuncak kejadian banjir di Malaysia pada tahun 2021 iaitu kejadian bah besar di enam negeri yang merupakan gelombang pertama musim tengkujuh di Malaysia melibatkan negeri Selangor, Pahang, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan,” jelasnya.
Beliau berkata, kejadian hujan berterusan ini dan jumlahnya yang tinggi mengakibatkan lebih banyak kejadian gelinciran tanah terutamanya di kawasan tanah tinggi yang boleh mencetekkan sungai pada hari kejadian dan meningkatkan paras air dengan cepat sehingga membentuk banjir puing sepertimana yang diterangkan oleh pakar Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.
Katanya, malahan kejadian seperti ini mungkin akan berlaku di negeri-negeri lain dalam masa terdekat mahupun masa akan datang jika terdapat gelinciran tanah yang serius dalam hutan asli atau hutan-hutan lain.
“Sisa-sia kayu daripada pokok-pokok yang tumbang bersama dengan gelinciran tanah ini akan terkumpul untuk satu tempoh dan ketika. Jika jumlah hujan yang luar biasa turun kemungkinan besar fenomena yang sama akan berlaku.
“Penilaian komprehensif oleh Panel Antara Kerajaan PBB merekodkan beberapa kesan cuaca iklim seperti kenaikan paras laut global akan terjadi dengan lebih kerap dengan kesan yang lebih teruk.
“Jadi seharusnya kita sentiasa peka dan berwaspada di mana dijangka lebih banyak bencana akan berlaku di masa akan datang. Ringan-ringanlah tangan dengan mengetik papan kekunci untuk mencari fakta di laman sesawang dan bukalah minda untuk menghayati segala data yang ada,” katanya. – PAHANGMEDIA