Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda meninjau proses kerja pembersihan di Kampung Chegar Medang dan Taman Perumahan PR1MA Karak Setia di Bentong.

PROSES PEMBERSIHAN PASCABANJIR PAHANG CAPAI 96 PERATUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BENTONG, 13 JANUARI 2022 : Proses pembersihan pasca banjir di daerah terjejas banjir di negeri ini telah mencapai 96 peratus setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda berkata, setakat ini hanya dua daerah iaitu Bentong dan Maran sahaja yang masih belum selesai sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda.

“Setakat ini kita dah bersihkan 96 peratus kawasan yang terlibat banjir di Negeri Pahang dan ada beberapa daerah lagi belum capai seperti daerah Bentong dan Maran sebab mereka ini baru lepas habis (banjir).

“Jadi saya nasihatkan penduduk yang ada di semua kawasan yang masih belum melakukan kerja-kerja pencucian supaya mengeluarkan barang-barang yang tidak terpakai, yang terkesan oleh banjir dan diletakkan dihadapan rumah masing-masing. Pihak Alam Flora dan SWCorp akan menjalankan kerja-kerja kutipan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan tinjauan kerja pembersihan di Kampung Chegar Medang dan Taman Perumahan PR1MA Karak Setia di Bentong.

Kerja pembersihan di Kampung Chegar Medang dan Taman Perumahan PR1MA Karak Setia di Bentong.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang, Encik Sharudin Hamid.

Menurut beliau, bagi pembuangan sisa bahan makanan oleh penduduk terjejas banjir, pihaknya melalui Swcorp dan Alam Flora akan membuat penggantian tong sampah dalam masa terdekat ini.

Mengulas mengenai banjir yang melanda perumahan baharu di Taman Perumahan PR1MA Karak Setia, pihaknya juga telah berhubung dengan pihak pemaju supaya meneliti semula keadaan perumahan ini.

“Saya mohon syarikat SPNB supaya lihar balik kerana mereka baru tinggal di sini hampir dua bulan tetapi rumah mereka ini telah dilanda air bah yang besar sehingga menenggelamkan rumah dan kehilangan serta kerosakan harta benda dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Encik Sharudin berkata, sebanyak 38,506 tan sisa banjir telah dikeluarkan daripada tujuh daerah yang terlibat banjir.

“Saya jangkakan akan bertambah lagi (jumlah sisa buangan) kerana kita masih ada lagi tempat-tempat yang masih dalam proses transit untuk kita menghantar sisa-sisa banjir ini ke tapak pelupusan. Kita menjangkakan untuk sisa transit ini, kita selesaikan pada minggu ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download