KUANTAN, 12 JANUARI 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan Allahyarham Dato’ Haji Abdul Wahab Mohamad Ali sebagai seorang insan yang komited dan amanah dalam menjalankan tugas.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Allahyarham merupakan figura penting dalam membantunya menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Pahang.
Justeru beliau berharap semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menaikkan darjatnya, dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh.
Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Pahang itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada jam 5.42 petang semalam akibat kanser darah.

Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini, pada 9.40 malam tadi selepas disolatkan di Masjid al-Muhajirin Indera Mahkota 5 di Kuantan dengan diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Laily Mohd Ebram, 62, dan dua anak perempuan serta sepasang cucu.
Allahyarham Dato’ Haji Abdul Wahab yang dilahirkan pada 26 Februari 1961, difahamkan merupakan setiausaha akhbar paling lama pernah berkhidmat sejak tahun 1995, dan bekerja di bawah tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob sebelum Dato’ Sri Haji Wan Rosdy.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Berita di BERNAMA pada 1 September 1984 di ibu pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke pejabat Biro Pahang sebagai pewarta negeri pada 1 Januari 1989 dan kemudiannya kembali ke ibu pejabat pada 1 Oktober 1994 sebagai Penolong Editor Meja Berita.
Beliau mula dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang secara pinjaman pada 1 Julai 1995 hingga 31 Mei 2006 sebelum bersara pilihan daripada Bernama pada 1 Jun 2006 dan kemudiannya terus berkhidmat dengan Tun Mohd. Khalil sehingga tampuk kepimpinan negeri diambil alih oleh YB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan pada tahun 1999, sebelum bersama Dato’ Sri Haji Wan Rosdy sejak 2018.
Allahyarham cukup dikenali dan dihormati pengamal media di negeri ini dan sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar, beliau banyak membantu dalam tugasan pengamal media selain sebagai tempat rujukan. – PAHANGMEDIA