Oleh : Mahathir Ali
KUANTAN, 08 JANUARI 2022 : Sebanyak 571 struktur pemancar yang terkesan akibat banjir yang melanda Pahang semenjak 19 Disember yang lalu kini telah pulih sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau berterima kasih kepada semua yang terlibat iaitu SKMM, pihak Telco dan juga PKOB Daerah-Daerah atas komitmen dan usaha keras untuk memastikan rangkaian komunikasi dapat beroperasi semula.
Katanya, meskipun banyak lokasi banjir yang sudah semakin reda, semua pihak perlu sentiasa bersedia untuk memastikan agar komunikasi di Pahang dalam keadaan siap siaga.
“Oleh yang demikian, usaha sedang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang bersama SKMM dan pihak Telco untuk memperkasakan struktur pemancar yang tenggelam akibat banjir di Pahang dengan pembinaan platform yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2022 ini, Kerajaan Negeri Pahang bersama dengan SKMM akan terus menggiatkan usaha untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan internet diseluruh Pahang melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan semenjak 2020.
Pelaksanaan Fasa 1 JENDELA yang akan tamat pada penghujung tahun 2022, telah menetapkan pembinaan sebanyak 245 menara baharu lagi.
Selain daripada itu, 445 struktur pemancar juga akan terus dinaik taraf ke rangkaian 4G bagi membolehkan liputan yang lebih meluas dan kualiti perkhidmatan internet yang lebih baik di seluruh Pahang.
Usaha yang sama juga sedang dijalankan bagi menaiktaraf lebih banyak premis yang dilengkapkan dengan rangkaian gentian optik. Ini bagi mencapai sasaran dibawah JENDELA dengan menetapkan sebanyak 118,260 premis dengan rangkaian gentian optik di seluruh Pahang pada penghujung 2022.
Ini membuktikan Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail bersama SKMM bertindak pantas mengatasi masalah komunikasi ini selepas banjir malah serius dan berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan pencapaian internet di seluruh negeri ini termasuk di kawasan pedalaman dan perkampungan masyarakat Orang-orang Asli. – PAHANGMEDIA