Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 07 JANUARI 2022 : Kerajaan Pahang akan memberikan bantuan kepada sukarelawan yang bertugas ketika banjir di negeri ini yang terlibat dengan musibah banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata pihak Kerajaan Pahang sedang meneliti bantuan sesuai yang akan disalurkan kepada mereka.
“Ada mereka ini NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) yang rumah mereka terkesan dengan banjir, tapi dalam masa yang sama turut juga membantu walaupun dalam terpaksa membersihkan rumah sendiri, tetapi mereka tetap semangat menjalankan aktiviti kesukarelawan.

“Dan kita (Kerajaan Pahang) sedang mengumpul maklumat dari semasa ke semasa dan mengikut data yang didaftarkan di PPS (Pusat Pemindahan Sementara), dan apabila keadaan telah reda, kita juga akan meraikan mereka yang telah bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini dan kita akan beri bantuan yang sewajarnya kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyerahan Pek Bantuan Banjir Perbadanan Stadium Negeri Pahang di Stadium Darul Makmur hari ini.
Sebanyak 350 pek bantuan diserahkan kepada wakil-wakil NGO yang hadir untuk disalurkan kepada mereka yang terlibat.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada para sukarelawan yang membantu melancarkan agihan bantuan dan tenaga kerja di negeri ini ketika musibah banjir berlaku.
“Mereka ini, sukarelawan dari NGO, persendirian dan dari semua pihak sangat membantu kita dalam proses semasa banjir dan pasca banjir. Mereka sentiasa sahaja bersedia, dan mereka ini tidak demand apa-apa.
“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang memberi kebenaran kepada sukarelawan luar (dari Pahang) untuk datang memberikan bantuan ke negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA