Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 4 JANUARI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al–Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’In Billah berkenan bercemar duli menyantuni mangsa banjir di Kampung Sungai Ganchong, Acheh di sini.
Dalam kunjungan berkenaan Seri Paduka Baginda Tuanku melihat sendiri keadaan rumah kurniaan keadaan rumah bertiang kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada ibu tunggal, Puan Norhasnah Mat Yunos, 61, yang tidak dimasuki air walaupun kawasan sekitarnya telah banjir.

Turut berangkat, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka Baginda Tuanku juga berkenan menaiki bot untuk ke rumah Puan Norhasnah untuk melihat sendiri keadaan rumah berkenaan yang tidak dimasuki air kerana dibina tinggi daripada aras banjir.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda menzahirkan keperibadian mulia yang tinggi dan prihatin dengan mengambil berat kesusahan serta musibah yang menimpa rakyat Negeri Pahang.
Rumah yang dibina dengan kos sebanyak RM100,000 itu dibina dengan tiang setinggi 2.4 meter dari aras tanah supaya dapat terhindar daripada banjir.
Pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu mengambil masa 16 minggu untuk dibina di atas tanah milik mangsa banjir tersebut. – PAHANGMEDIA