Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 4 JANUARI 2022 : Mangsa banjir di Daerah Pekan termasuk di Dewan Negeri Bebar terus dibantu pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib yang menimpa mereka.
Terbaru, mereka menerima sumbangan berupa barang makanan kering dan makanan yang telah dimasak dari FAMA sempena program kebajikan yang disusun pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mangsa banjir di PPS Padang Rumbia dan PPS Temai di sini.
Ia bersempena lawatan kerja Ketua Pengarah FAMA, Y.Bhg Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli bersama agensi ke negeri Pahang bagi penyerahan Bantuan Pasca Banjir dan program MAFI Prihatin baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, makanan yang siap dimasak ini dilakukan secara gotong royong oleh ahli Puspanita FAMA di Central Kitchen, Sekolah Memasak Tunku Azizah Pekan dan dibungkus serta diagihkan kepada mangsa banjir di empat PPS Daerah Pekan.
“Program Bantuan Pasca Banjir MAFI Prihatin FAMA Pahang telah membantu lebih 2,150 mangsa banjir di seluruh negeri Pahang termasuk 150 usahawan pertanian dan penternakan yang terkesan akibat banjir. Sebanyak 17 tan sayuran dan barang masak kering juga disumbangkan.
“Ini merupakan satu usaha murni dan tepat pada masanya dari FAMA Malaysia bersama agensi dan badan yang terlibat untuk turut serta membantu usaha Kerajaan Negeri pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan YB Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam membela nasib rakyat yang terkesan akibat banjir di negeri ini dan Daerah Pekan,” katanya.
Beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak FAMA diatas segala sumbangan yang mampu memberi kelegaan kepada mangsa banjir dan berharap FAMA dapat meneruskan kerjasama dan usaha murni ini termasuk dalam program yang lain juga. – PAHANGMEDIA