Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyantuni mangsa banjir di Pekan hari ini

KDYMM PEMANGKU RAJA SANTUNI MANGSA BANJIR DI PEKAN

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 01 JANUARI 2022 : Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyantuni mangsa banjir atau sesiapa sahaja yang ditimpa musibah bukan perkara baru.

Terbaharu, Kebawah Duli Tuanku berkenan berangkat bercemar duli bagi melihat sendiri dan melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Serambi di Bebar hari ini.

Kebawah Duli Tuanku bukan sahaja ringan tulang dengan bersama-sama bergotong-royong membersihkan PPS di Sekolah Kebangsaan Pulau Manis yang kebetulan Baginda singgah di situ.

Keberangkatan Baginda tanpa diduga dengan bertanya khabar mampu mengembalikan sedikit senyuman dan mengubat duka lara mereka akibat ditimpa musibah banjir.

Sebelum keberangkatan tiba Kebawah Duli Tuanku, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga ADN Bebar, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff baru sahaja selesai menyampaikan Bantuan Wang Ihsan mangsa banjir sumbangan Kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,500 seorang.

“Kebawah Duli Tuanku turut memuji menu makanan di PPS Serambi yang menyajikan nasi minyak berlauk ayam sambal hari ini.

“Kebetulan menu istimewa ini dimasak khas untuk mangsa banjir di Bebar hari ini bersempena penyampaian Bantuan Wang Ihsan dan hari terakhir mangsa banjir sebelum pulang kerumah oleh JPKK masing-masing melalui peruntukkan Kerajaan Negeri yang diberikan sebelum ini,” katanya.

Keberangkatan Baginda menzahirkan keperibadian mulia yang tinggi dan prihatin dengan mengambil berat kesusahan serta musibah yang menimpa rakyat Negeri Pahang.

Baginda yang sering mendahulukan rakyat, mengambil berat dan sentiasa mendampingi rakyat membuktikan betapa tingginya kasih dan sayang baginda kepada rakyat negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download