Oleh: Mahathir Ali
PEKAN 1 JANUARI 2022 : Semua sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) terutama dari luar Pahang yang ingin membantu mangsa banjir harus melapor atau merujuk terlebih dahulu dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah yang terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini kerana pihaknya tidak mahu pertindihan tugas berlaku yang akan merugikan masa dan tenaga semua.
“Operasi perlu diselaraskan dengan sebaik mungkin. Ia bagi memastikan kesihatan penduduk terjamin kerana saringan kesihatan (COVID-19) juga akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sukarelawan dan NGO masuk ke kawasan kampung-kampung untuk membantu,” katanya.
Beliau sebelum itu turun padang membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Rumbia, Bebar yang dilanda banjir, sekaligus merasmikan Pelancaran Pasca Banjir Daerah Pekan yang diselaraskan oleh Majlis Daerah Pekan, semalam.
Misi Pasca Banjir Daerah Pekan ini turut dijayakan bersama dengan Sukarelawan Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat SUK Pahang (KESUKEP) yang turut membersihkan SK Mambang, Chini pagi semalam
Gotong royong Pasca Banjir Daerah Pekan bermula serentakdilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi dan NGO dilakukan berperingkat mengikut lokasi yang banjirnya telah surut. – PAHANGMEDIA