KUANTAN, 31 DISEMBER 2021: Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menambah barangan keperluan makanan di Pangkalan Hadapan sebagai persediaan menghadapai gelombang kedua banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajjah Shahaniza Haji Shamsuddin berkata, pertambahan bekalan ini dibuat setelan bekalan sebelum ini telah habis digunakan pada episode banjir yang berlaku pada 17 hingga 28 Disember lalu.
Beliau berkata, bekalan itu diselaraskan oleh JKM dan dibekalkan oleh PDM Supermarket Sdn Bhd ke daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, Raub, dan Lipis sejak semalam sehingga hari ini.
“Selain itu kita juga menambah bekalan keperluan asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti selimut, toto, tuala dan sebagainya yang telah habis sepenuhnya digunakan sepanjang episod banjir pada 17 hingga 28 Disember lalu. Semua JKM Daerah sedang dan telah ditambah bekalan ini.
“Kita juga telah menyewa tujuh lori tambahan dan tujuh kenderaan pacuan empat roda bagi melicinkan penghantaran bekalan ke PPS dan rumah-rumah yang terputus hubungan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, kekuatan pasukan Psychology Support Team (PST) di bawah kendalian JKM juga ditambah untuk membantu mangsa-mangsa di PPS dalam aspek menangani stress, kemurungan dan kecelaruan akibat kemusnahan harta benda dan kesan banjir di mana buat masa ini 14 kaunselor dan 88 PST menjalankan tugas-tugas ini di PPS di setiap daerah.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik antara NGO dan Sukarelawan bagi membantu JKM di PPS.-PAHANGMEDIA