YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima replika cek RM250,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Encik Mohd Nazrul Izam Mansor sambil disaksikan oleh Pengerusi FELDA, YB Dato' Sri Idris Jusoh, dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB Dato' Haji Nazri pada penyerahan sumbangan Tabung Bencana Banjir Pahang 2021 di Temerloh, hari ini.

FGV SUMBANG RM250,000 KEPADA TAHUNG BENCANA BANJIR PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 29 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang telah menerima sumbangan daripada FGV Holdings Berhad sebanyak RM250,000 yang disalurkan kepada Tabung Bencana Banjir Pahang 2021.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang sangat menghargai keperihatinan FGV dalam membantu rakyat di negeri ini.

“Kami berterima kasih di atas keprihatinan FGV yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Peruntukan ini akan digunakan sebaiknya bagi menguruskan keperluan mangsa banjir serta bagi meringankan beban yang ditanggung mereka selepas mengalami kemusnahan harta benda akibat bencana ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima cek sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Encik Mohd Nazrul Izam Mansur di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh di sini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Idris Jusoh berkata bantuan ini merupakan sebahagian usaha dalam membantu kerja berkaitan pascabanjir di negeri ini.

“…yang betul terkesan, yang rumah tenggelam, peti ais tenggelam, itu kita beri mesin basuh, kita beri periuk nasi elektrik. Kita beri tengok keadaan merekalah.

“Wang tunai RM2,000 juga kita beri kepada petugas-petugas Felda yang betul teruk (terjejas banjir) dan yang kehilangan nyawa pun kita beri (wang bantuan).

“Negeri ini (Pahang) merupakan antara negeri yang terjejas teruk akibat banjir dan sedikit sumbangan ini diharap dapat membantu Kerajaan Negeri untuk menguruskan mangsa banjir dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau lagi, sebanyak 471 keluarga peneroka Felda yang terkesan banjir juga akan diberikan bantuan.

“Kita (FGV) juga akan memberikan bantuan sewajarnya kepada 471 keluarga peneroka Felda yang terjejas akibat banjir iaitu wang tunai RM100 atau barang keperluan kepada mereka,” katanya.

Negeri ini mula dilanda banjir pada 19 Disember lepas yang melibatkan 64,967 orang mangsa daripada 17,985 keluarga dari sembilan daerah di negeri ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download