Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 29 DISEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menasihati rakyat supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku episod banjir besar akibat hujan lebat berterusan.
Baginda turut menitahkan agar penduduk yang berada di kawasan berisiko dilanda banjir agar peka terhadap ramalan dan amaran yang dikeluarkan dan sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak.
“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga,” titah baginda menerusi satu kenyataan media hari ini.

Baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap kemaslahatan rakyat dengan menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir yang pernah berlaku untuk diperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi urusan pasca banjir.
KDYMM Yang di-Pertuan Agong turut menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak leka sebaliknya lebih proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir lebih baik.
Baginda juga turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran Tahap Waspada (Kuning) iaitu hujan berterusan yang akan dialami beberapa daerah di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini dan dijangka berakhir pada 2 Januari depan. – PAHANGMEDIA