Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang membantu membersihkan rumah penduduk Kampung Chegar Medang dan Kampung Sungai Marong,di Bentong baru-baru ini.

RASA DIHARGAI DENGAN SEMUA BANTUAN YANG DIBERIKAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BENTONG, 29 DISEMBER 2021 : “Kami rasa dihargai dengan semua bantuan yang diberikan ini,” luah Puan Roslina Jamaluddin yang merupakan salah seorang mangsa banjir di daerah ini.

Puan Roslina, 48, yang tinggal bersama lapan lagi ahli keluarga di kediaman beliau yang kini tidak lagi boleh didiami berkata bantuan yang tidak putus dari pelbagai pihak sedikit sebanyak dapat membantunya dan keluarga.

“Kami rasa dihargai sangat bila pelbagai bantuan dari segi barangan, tenaga, makanan, tak putus-putus sampai.

“Bersihkan rumah ini pun banyak pihak dah datang, tolong tolak lumpur yang sebelum ini hampir paras lutut, tolong buangkan barang-barang rosak, dan hari ini ada yang datang tolong cuci rumah. Rasa dihargai sangat walau tak kenal,” katanya.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak (kanan) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim (kiri) turut serta membantu membersihkan rumah penduduk Kampung Chegar Medang dan Kampung Sungai Marong,di Bentong baru-baru ini.

Kediaman beliau yang dinaiki air sehingga paras bumbung di Kampung Chegar Medang disifatkan paling buruk selepas banjir pada 1971.

“Dulu banjir 1971, rumah kami hanyut terus. Jadi kita bina balik rumah di tapak asal lepas banjir dulu. Ini (banjir kali ini) rumah pun dah habis rosak. Rumah kayu memang dah tak boleh nak duduk dah.

“Kami memang tak ada apa-apa barang dah. Semua rosak sebab air naik terlalu cepat. Tak sempat nak selamatkan apa-apa.

“Alhamdulillah bantuan yang kami dapat dari segi pakaian memang mencukupi, yang kami nak buat masa ini cuma dapur memasak, periuk nasi, dan cerek sahaja selain bantuan untuk membaiki rumah yang rosak ini,” katanya.

Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang membantu membersihkan rumah penduduk Kampung Chegar Medang dan Kampung Sungai Marong,di Bentong baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Puan Aminah Abu, 70, berkata dia kini merasa takut melihat langit gelap kerana takut banjir akan berulang lagi.

“Makcik takut, bila tengok langit gelap, terus rasa takut, tak senang duduk. Takut banjir lagi. Kalau banjir lagi, apa lagi yang tinggal dalam rumah ni.

“Banjir baru ini makcik memang tak dapat selamatkan apa-apa sebab tak ada orang di rumah. Balik pun bila air dah surut, tengok barang dah dibawa banjir, yang ada pun penuh lumpur,” ujarnya sayu.

Suami Puan Aminah, Encik Hamzah Ahmad, 70, berkata dia dan keluarga hanya mampu mengucapkan terima kasih dengan semua bantuan yang dihulurkan.

Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang membantu membersihkan rumah penduduk Kampung Chegar Medang dan Kampung Sungai Marong,di Bentong baru-baru ini.

“Terima kasih datang hantar makanan, air, dan tolong cuci rumah kami. Pakcik dan makcik tak mampu nak buat sendiri semua sebab lumpur kering ni ada merata tempat.

“Kami pun sekarang duduk menumpang di surau kampung, sebab rumah masih tiada bekalan elektrik lagi. Jadi memang tak boleh duduk lagi,” katanya.

Seramai kira-kira 50 petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang telah membantu membersihkan rumah penduduk Kampung Chegar Medang dan Kampung Sungai Marong, Bentong.

Turut serta YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim.

Petugas-petugas ini juga akan bergerak ke setiap daerah yang terlibat banjir di negeri ini dengan daerah Temerloh sebagai daerah kedua.

Setakat hari ini, seramai 2,980 mangsa masih berada di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS ) di daerah ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download