Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 28 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang akan memberikan bantuan tambahan sebanyak RM200 kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah secara keseluruhan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang akan memberi bantuan ini selama enam bulan berturut-turut.

“Bagi mereka yang kehilangan rumah secara total, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi mereka RM200 sebulan selama enam bulan kepada mereka yang kehilangan rumah.
“Kita akan dapatkan maklumat dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Pejabat Daerah, dan kalau benar mereka kehilangan kediaman, kita akan bagi (bantuan ini).
“Dan kita di Pahang setakat ini telah ada 20 kematian dan Kerajaan Negeri juga telah menyumbang sebanyak RM5,000 kepada keluarga yang ahli keluarga mereka menjadi mangsa banjir,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Pekan.

Beliau juga turut menyerahkan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada Kerajaan Pahang kepada 77 Ketua Isi Rumah (KIR) di PPS SMK Dato’ Mahmud Mat, PPS SK Pulau Serai, PPS Kampung Ganchong Hulu, dan PPS SMK Ubai yang disalurkan bermula hari ini kepada mangsa banjir.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga kini sedang dalam proses untuk menambahbaik fasiliti yang digunakan ketika banjir di negeri ini.
“…oleh sebab banjir ini boleh dikatakan setiap tahun berlaku, sama ada banjir besar, banjir kilat, jadi kita sekarang ini sedang memikirkan untuk menambahbaik lagi (fasiliti berkaitan).
“Kemungkinan kita akan putuskan, tapi ini masih di peringkat perbincangan dan saya cuma mengutarakan idea, kita akan gunakan asrama. Bila guna asrama, bermakna kemudahan dah ada, dan ada katil, dah ada tilam.
“Kalau banding dengan sekarang, kalau guna bilik darjah, kita kena bagi tikar, bagi toto, bagi bantal, selimut dan sebagainya dan ini kadang-kadang melambatkan dan menyusahkan mangsa-mangsa banjir dan adakalanya bantuan tidak disampaikan oleh sebab jalan terputus sebagai contoh,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku pembalakan di Telemong, Bentong sehingga mengakibatkan banjir, beliau berkata satu siasatan sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan laporan akan diserahkan kepada Kerajaan Pahang selepas siasatan selesai.
“Kita tak boleh buat andaian, dan tunggu sehingga siasatan selesai. Kita tak ada bagi tempoh masa kepada mereka sebab saya bagitahu mereka supaya buat laporan yang sebaik mungkin, kita bagi masa kepada mereka (untuk siapkan laporan) tapi tidaklah terlalu lama,” katanya. -PAHANGMEDIA