Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda meninjau kerja pembersihan kawasan perumahan Taman Makmur Mahkota Jaya hari ini.

RM500 JUTA KERUGIAN DIANGGARKAN AKIBAT BANJIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 28 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menganggarkan mengalami kerugian sebanyak RM500 juta akibat banjir besar baru-baru ini di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata kerugian ini melibatkan kediaman dan juga infrastruktur awam di negeri ini.

“Kalau kita lihat jumlah mangsa terlibat di Kuantan sebanyak 7,491 rumah yang terlibat, yang berdaftar. Jadi kita anggar sebuah rumah ni lebih kurang RM10,000 ke RM12,000 kerosakan. Ini yang kita nampak, yang kita tak nampak, mungkin lebih lagi pada tu. Pandangan kasar saya hampir RM100 juta juga di Kuantan sahaja.

“Ini dari segi infrastruktur belum masuk lagi, yang di bawah JKR (Jabatan Kerja Raya),di bawah PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), dan anggaran kita kerugian kira-kira RM500 juta kerosakan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja pembersihan kawasan perumahan Taman Makmur Mahkota Jaya hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, YBhg. Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Beliau berkata dianggarkan sebanyak 500 tan sampah telah dibersihkan di daerah ini dalam tempoh sehari.

“Anggaran sampah dibersihkan sehari lebih kurang 500 tan dan saya dah bagi arahan kepada semua PBT untuk membersihkan semua sampah ini selewat-lewatnya tiga minggu.

“Tambah pula sampah ini, dia bukan keluar sekali, pertamanya yang betul-betul rosak (akan dibuang), lepas tiga ke empat hari, akan keluar lagi (sampah lain),” katanya.

Negeri ini mula dilanda banjir pada 19 Disember lepas yang melibatkan 64,967 orang mangsa daripada 17,985 keluarga dari sembilan daerah di negeri ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download