Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 28 DISEMBER 2021 : Jumlah mangsa banjir di Pahang setakat jam 4 petang tadi, terus menurun kepada 11,243 mangsa daripada 3,683 keluarga yang ditempatkan di 80 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Daerah Temerloh merupakan paling ramai mangsa iaitu seramai 4,806 orang daripada 1,457 keluarga berada di 15 PPS manakala jumlah mangsa di Bentong masih kekal dengan 2,980 orang daripada 1,163 keluarga dipindahkan ke 15 PPS dan Daerah Pekan meningkat kepada 1,805 mangsa daripada 578 keluarga dipindahkan ke 24 PPS.
Selain itu, Maran mencatatkan 660 mangsa daripada 199 keluarga dipindahkan ke 17 PPS, Bera 505 mangsa daripada 145 keluarga dipindahkan ke 4 PPS manakala Kuantan 487 mangsa daripada 141 keluarga dipindahkan ke 5 PPS.
Katanya, musibah banjir ini juga telah mengorbankan 20 orang mangsa daripada Kuantan, Pekan, Temerloh, Raub dan Bentong.
Beliau berkata, jalan yang ditutup di seluruh negeri ini juga kekal sembilan jalan melibatkan lapan daerah disebabkan banjir dan juga tanah runtuh.
Di Pekan, Jalan Kuantan – Segamat, Bentong, Jalan Southern Loop, Jerantut, Jalan Kuala Lipis – Jerantut, Maran, Jalan KL – Kuantan, Raub, Jalan Ulu Dong, Temerloh, Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok, Kuantan, Jalan Sungai Lembing dan Daerah Lipis, Jalan Bentong – Gua Musang. – PAHANGMEDIA