Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 26 DISEMBER 2021: Bekas Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak memuji pengurusan banjir di Daerah Pekan yang amat baik dan berkesan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, ini menunjukkan bahawa peranan yang dimainkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Pekan bersama pentabiran mukim, kampung dan wakil rakyat sangat baik.
“Malah dengan sokongan kepimpinan Kerajaan Negeri serta YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, saya lihat segalanya berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas turun padang meninjau 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Pekan termasuk di Dewan Negeri Bebar.
Sementara itu, beliau berkata, pengumuman bantuan banjir oleh Kerajaan Negeri amat tepat pada masanya kerana dapat mengurangkan beban mangsa yang terpaksa menanggung kerugian besar berikutan bencana banjir
Dalam kunjungan itu beliau turut menyampaikan bantuan barang makanan kepada semua mangsa banjir dan bertanya khabar keadaan mereka.
Beliau juga meninjau kelengkapan dan stok bekalan makanan, melihat persiapan dapur memasak dan kipas angin di setiap PPS serta meluangkan masa bertemu pasukan keselamatan dan kesihatan yang bertugas.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar. – PAHANGMEDIA