KUANTAN, 26 DISEMBER 2021: Beberapa kawasan dijangka akan mengalami keadaan tekanan air yang rendah berikutan kejadian banjir yang berlaku pada baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, perkara itu berlaku disebabkan penggunaan air yang terlalu tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan premis yang terjejas akibat banjir serta kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan yang telah menyebabkan jajaran paip terputus atau pecah.
Bagaimanapun beliau berkata, hampir kesemua Loji Rawatan Air (LRA) telah beroperasi sepenuhnya bagi membekalkan air kepada pengguna dan masih di dalam proses pemulihan.
“Proses pemulihan ini memerlukan masa dan akan pulih secara berperingkat,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Justeru katanya, pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah.
“Untuk makluman, orang ramai boleh melayari laman sesawang PAIP di www.paip.com.my dan Telegram, Notis Gangguan Bekalan Air Negeri Pahang untuk mendapatkan maklumat mengenai Notis gangguan bekalan air atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 09-573 9999 bagi sebarang pertanyaan dan aduan,” katanya.-PAHANGMEDIA