Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
FOto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 27 MAC 2020: Kerajaan Pahang mengambil inisiatif untuk menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) dengan kerjasama tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di negeri ini untuk diserahkan kepada petugas-petugas barisan hadapan.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 1,000 PPE akan dihasilkan oleh untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan di seluruh negeri ini.
“Antara NGO dan sukarelawan yang menyertai kerja-kerja membuat PPE ini adalah PUSPANITA, Pandu Puteri, Puteri UMNO, PERKEP, BAKAT, Pengakap, PERSIAP dan juga Penjara Bentong serta Penjara Penor.

“Saya difahamkan di Pahang sahaja memerlukan sebanyak satu juta PPE untuk sepanjang tempoh wabak COVID-19 ini. Diharapkan usaha kecil ini akan dapat membantu petugas-petugas kesihatan yang amat memerlukan,” katanya dalam sidang media selepas melihat penghasilan PPE di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, penghasilan PPE ini akan dipantau oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang dan dibuat berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan oleh JKN.
“Kerajaan Negeri mengeluarkan pembelanjaan untuk membeli bahan mentah manakala NGO dan sukarelawan yang terlibat akan menghasilkan PPE sebelum diserahkan kepada pihak yang berkaitan.

“PPE yang dihasilkan ini merangkumi beberapa bahagian seperti head cover, gaun, boot cover dan face shield,” katanya.
Katanya lagi, ini adalah usaha kecil pihaknya untuk membantu pasukan hadapan dengan hasrat supaya semua petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat dan petugas kesihatan terlindung dalam menjalankan tugas. – PAHANGMEDIA