Oleh : Fairus Mohd
JERANTUT, 25 DISEMBER 2021 : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar bakal dipindahkan ke lokasi baru selepas hampir setiap tahun dinaiki air banjir.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sekolah menengah berusia 51 tahun ini tidak lagi sesuai untuk terus beroperasi di kawasan berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan oleh Exco YB Dato’ Nazri Ngah merangkap ADN Pulau Tawar, Pegawai Daerah Jerantut, Pengetua sekolah yang memaklumkan mereka bercadang agar sekolah ini dipindahkan.
“Kerja-kerja awal telah dilakukan di mana Kerajaan Negeri tiada masalah (menyediakan tanah tapak), cumanya kita bersetuju kiranya ada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan.
“Keadaan ini tidak boleh berterusan kerana ia merencatkan persekolahan anak-anak kita, mereka terpaksa bercuti tidak dapat datang sekolah dan apabila selepas banjir nak kena bersihkan (sekolah) semua dan mengambil kos dan masa yang sangat banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai gotong-royong pasca banjir bersama sukarelawan di SMK Pulau Tawar, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri; Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris serta pemimpin setempat.
Pada program sama beliau turut menerima 200 kit berbentuk bantuan makanan kering serta barang sanitasi daripada Pengerusi Malaysia Medical Association (MMA) Bahagian Pengamal Perubatan Swasta, Dr Balachandran S Krishnan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah Jerantut.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut memaklumkan berkenaan perancangan naik aras Jalan Paya Garuk yang sering dinaiki air sehingga lebih dua meter tinggi ketika banjir.
Menurutnya, jalan tersebut menjadi penghubung kepada 26 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan 4,200 orang penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.
Perancangan menaik aras jalan sepanjang satu kilometer itu sedang dalam perancangan melibatkan kos sebanyak RM14 juta untuk perlaksanaanya. -PAHANGMEDIA