Oleh : Ain Nadhirah Basha
MARAN, 24 DISEMBER 2021 : Mangsa banjir di negeri ini boleh membuat laporan berkenaan bencana berkenaan kepada anggota polis yang digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang ada.
Timbalan Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri berkata ini bagi memudahkan mangsa banjir untuk membuat laporan berikutan kesulitan yang dialami mangsa banjir ini untuk ke balai polis.
“Saya telah mengarahkan seluruh Ketua Polis Daerah di Negeri Pahang ini untuk membuka kaunter-kaunter dan memudahkan orang ramai membuat report bagi disalurkan kepada pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).
“Di mana kita juga akan menambah kaunter bagi membuat report dan kita juga akan gerakkan anggota-anggota kita ke PPS untuk membuat report secara manual.
“Sebab itu saya memerlukan bantuan daripada orang ramai, untuk menghubungi balai polis daerah masing-masing untuk mereka membuat report. Kita akan mempermudahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas mengiringi YAB Menteri Besar Pahang melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Pesagi dan SMK Tengku Ampuan Afzan di Chenor hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pegawai Daerah Maran, YH. Dato Sharuddin Jali; dan Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan keadaan air sungai yang menunjukkan tren meningkat bagi mengelakkan daripada berlakunya bencana.
“Walaupun hujan telah pun reda, tapi air sungai menunjukkan tren menaik di sesetengah daerah seperti di Chenor ini dan mungkin air akan turun ke Pekan. Jadi orang ramai perlu berhati-hati dan mengawasi anak-anak kita supaya tidak bermain dipinggir sungai atau di kawasan yang dinaiki air kerana ia mengundang padah,” katanya.
Sementara itu, DSP Norzamri berkata pihaknya menjangkakan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS di daerah ini akan meningkat menjelang malam ini memandangan tren air yang meningkat.
“Kita jangkakan dalam tinjauan air setakat hari ini, air menunjukkan tren yang meningkat, dan kemungkinan lebih banyak mangsa akan dipindahkan ke PPS, dan kita jangka tren air ini akan naik selama beberapa hari terutamanya di Batu 13 dan keseluruhan kawasan Chenor ini.
“Setakat ini jumlah PPS yang dibuka dan beroperasi di daerah ini adalah sebanyak 26 PPS daripada 48 PPS yang ada. Ini melibatkan 365 keluarga, dan jumlah mangsa 1,315 orang,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang kediaman mereka telah dinaiki air untuk terus berpindah bagi mengelakkan kesukaran menyelamat.
“Mana-mana rumah yang telah pun dinaiki air, segeralah berpindah. Jangan tunggu sampai rumah dah masuk air kerana ini sukar bagi penyelamat untuk memberikan bantuan,” katanya. -PAHANGMEDIA