YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Pesagi dan SMK Tengku Ampuan Afzan di Chenor hari ini.

TIADA HAD JUMLAH PENERIMA BANTUAN BANJIR KERAJAAN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

MARAN, 24 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang tidak meletakkan jumlah had penerima bantuan banjir yang akan diberikan kepada semua mangsa terlibat banjir di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang akan memberi bantuan ini dengan syarat mangsa telah pun berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Pesagi dan SMK Tengku Ampuan Afzan di Chenor hari ini.

“Selagi ada mangsa banjir yang berdaftar, kita akan bagi (bantuan). Dia (bantuan banjir) tak ada limit. Mana boleh kita letakkan limit.

“Kalau ada 20,000 ketua isi rumah, kita bagi 20,000 ini. Kalau ada 25,000 KIR, pun kita bagi semua ni. Tak kan kita nak kata bajet setakat untuk 25,000 orang, walhal mangsa ada 28,000. 3,000 lagi macam mana?.

“Kita akan bagi selagi mereka itu berdaftar dengan JKM, JPKK dan melalui proses-proses tertentu. Kenapa ini perlu daftar, kerana ini duit Kerajaan. Kita tidak mahu berlaku penyalahgunaan atau orang yang sepatut dapat (bantuan) tapi tak dapat, dan orang yang tak sepatut dapat pula dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Pesagi dan SMK Tengku Ampuan Afzan di Chenor hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pegawai Daerah Maran, YH. Dato Sharuddin Jali; Timbalan Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri; dan Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman,

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy semalam mengumumkan Kerajaan Pahang telah pun bersetuju untuk menyumbangkan Bantuan Khas Bencana Banjir sebanyak RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas banjir di negeri ini.

Mengulas mengenai tindakan segelintir pihak yang mengajak orang ramai supaya tidak menyumbang kepada Tabung Bencana Banjir Pahang 2021, beliau berkata ini perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Kita belum terima apa-apa laporan berkenaan gerakan macam itu (mengajak supaya tidak menyumbang kepada tabung banjir Pahang). Tabung ini kita dah wujudkan dari dulu lagi, seperti mana tabung COVID-19, bila berlaku banjir, bukan baru tubuh.

“Dan kita serah balik kepada rakyat (sumbangan ini), dan penyumbang kepada tabung ini juga akan dikecualikan dari cukai.

“Tapi benda ini biasalah, jika ada pun sangat kecil peratusnya. Seperti anti vaksin COVID-19, kita tak dapat elak. Sebab kita tak boleh dapat 100 peratus persetujuan, mesti ada segelintir kumpulan yang menentang apa saja yang kita buat. Walaupun apa yang kita buat tu baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang terlibat ini supaya turut menjadi penyumbang kepada tabung bantuan ini kerana ia akan disalurkan kembali kepada rakyat.

“Jadi saya bagi nasihat kepada mereka ini, supaya membantulah sumbangan yang Kerajaan Negeri anjurkan ini supaya duit ini dapat kita bagi balik kepada rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download