Oleh: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 DISEMBER 2021 : Bermula dari pagi hinggalah ke malam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak pernah mengenal erti penat lelah dengan terus menyantuni mangsa banjir di tiga daerah yang terjejas semalam.

Bermula di Daerah Bentong seterusnya ke Bera dan Temerloh, baginda bertemu dan bertanya khabar sebelum mengurniakan sumbangan kepada rakyat yang terjejas dengan bencana banjir.
Seawal pagi baginda berangkat bercemar duli ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Karak Setia sebelum mendengar taklimat situasi banjir terkini oleh Pegawai Daerah Bentong YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim.

Seterusnya baginda berangkat melihat sendiri kerosakan akibat banjir dan menziarahi mangsa di beberapa kampung, taman perumahan dan PPS di Karak sebelum bercemar duli pula ke Daerah Bera.
Di Daerah Bera baginda berangkat mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di beberapa PPS antaranya SK Kerayong, SK Kerayong Jaya, SMK Bandar Kerayong dan SK Sri Buntar.

Tuanku yang hadir secara mengejut pada waktu malam di PPS SK Mentakab Jaya telah mengurniakan wang tunai kepada semua mangsa banjir di PPS tersebut serta menyerahkan bantuan keperluan asas
Keberangkatan baginda turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi b Hussain dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin. – PAHANGMEDIA