Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 23 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang bercadang untuk menyimpan barangan keperluan asas di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengelakkan kelewatan dalam penghantaran bantuan kepada mangsa banjir.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata cadangan ini akan dikaji kerana berlaku kelewatan akibat terputus hubungan di antara pusat pengkalan hadapan dengan PPS baru-baru ini.
“Bila berlaku banjir toto, tikar terpaksa kita ambil daripada pengkalan hadapan, dan bila ambil dari pengkalan hadapan berlaku terputus (hubungan). Jadi ini yang berlaku kelewatan.
“Jadi selepas ini kita mungkin letakkan toto, tikar, barang-barang yang tidak rosak di PPS. Jadi bila mangsa banjir pindah, mereka terus dapat barang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan di PPS SMK Sri Semantan di sini sebelum ke SMK Seberang Temerloh dan meninjau bandar Mentakab dan Temerloh.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Tambah beliau lagi, permohonan Kerajaan Pahang untuk membina Pusat Penempatan Tetap bagi mangsa banjir di negeri ini juga telah dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri.
“Kerajaan Negeri telah pun sebenarnya mengemukakan permohonan ini (pembinaan Pusat Penempatan Tetap) kepada YAB Perdana Menteri dua tiga bulan sebelum banjir dan YAB Perdana Menteri setuju.
“Dan pada peringkat awal ini, kita akan teruskan (pembinaan) walaupun mungkin kita dapat peruntukan agak lewat. Kita akan buat paling kurang dua Pusat Penempatan Tetap ini.
“Setakat ini kita masih mengkaji kawasan yang sesuai berdasarkan kawasan yang terjejas banjir, dan juga mencari lokasi yang sesuai supaya tidak berhadapan banjir,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah mengarahkan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk membekalkan tangki berkapasiti 6,000 gelen kepada penduduk Bentong bagi menampung bekalan air yang tidak mencukupi di kawasan terlibat banjir.
“Semalam saya di Bentong, mereka (mangsa banjir) menceritakan pada peringkat awal memang ada masalah-masalah kemudian semalam mereka kata bekalan air ada, tetapi tidak mencukupi bagi mangsa banjir.
“Jadi kita telah buat tindakan serta merta. Antaranya saya telah arahkan PAIP dan juga agensi lain seperti Perbadanan Air Pahang untuk segera membeli air, membeli tank yang berkapasiti 6,000 gelen untuk ditempatkan di Bentong,” katanya.-PAHANGMEDIA.