KUANTAN, 22 DISEMBER 2021 : Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini semakin menurun kepada 36,841 orang setakat jam 4 petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kesemua mereka melibatkan 10,807 keluarga ditempatkan di 267 PPS di sembilan daerah terjejas banjir.
“Di Kuantan, jumlah mangsa terlibat menunjukkan penurunan kepada 14,223 mangsa daripada 4,151 keluarga yang dipindahkan ke 69 PPS, Temerloh 10,806 mangsa daripada 3,034 keluarga yang dipindahkan ke 78 PPS, dan Lipis menurun kepada 1,164 mangsa daripada 366 keluarga dipindahkan ke 17 PPS.

“Daerah Jerantut pula menurun kepada 1,744 mangsa daripada 453 keluarga yang dipindahkan ke 26 PPS, Bentong juga menunjukkan peningkatan kepada 4,459 mangsa melibatkan 1,540 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS, dan Bera menunjukkan peningkatan jumlah mangsa kepada 2,017 melibatkan 577 keluarga di 19 PPS.
“Raub juga merekodkan penurunan kepada 375 mangsa daripada 96 keluarga yang dipindahkan ke 4 PPS, Pekan meningkat kepada 1,313 mangsa daripada 395 keluarga dipindahkan ke 20 PPS dan Maran juga sedikit meningkat kepada 737 mangsa daripada 195 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS,” katanya.
Beliau berkata, jalan yang ditutup di seluruh negeri ini juga meningkat kepada 40 laluan melibatkan sembilan daerah disebabkan banjir dan tanah runtuh.
“Di Jerantut, jalan yang ditutup adalah Jalan Sungai Retang-Padang Piol, Kuala Lipis-Jerantut, Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Genting, Jalan Bukit Puas-Gintong, Jalan Sungai Yap-Pasir Tambang, Jalan Kampung Paya Petai-Sungai Salan, Jalan Paya Rajin, Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau, Jalan Bukit Embun-Tebing Tinggi, dan Jalan Ulu Retang-Merting. Di Bera, di Jalan Gemas Temerloh, Jalan Utama Gugusan Bera, dan Jalan Bohor Bahru.
“Raub pula ialah di Jalan Sengkela-Chenua. Di Bentong ialah di Jalan Karak-Simpang Pelangai. Di Pekan di Jalan Mentiga-Terapai. Di Temerloh di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Gemas-Temerloh, Jalan Temerloh-Mentakab, dan Loji Air Batu Sawar.
“Di Maran, di Jalan Pekan Sehari-Kampung Awah, Jalan Kampung Wau/Kertau, Jalan Serengkam, Jalan Utama Jengka Utara/Selatan, dan Jalan Kampung Paya Ladang. Di Lipis di Jalan Bukit Kota-Aur Gading, Jalan Kuala Lipis-Jerantut, Jalan Bentong-Gua Musang, Jalan Benta-Jerantut, dan Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela.
“Manakala di Kuantan ialah di Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan-Endau, Jalan Air Hitam-Kampung Teluk Mahang, Jalan Panching Utara, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Pandan Damai 1, Jalan Bukit Rangin Perdana 2, Jalan Bukit Rangin 3, dan Jalan Bukit Rangin Damai,” katanya. -PAHANGMEDIA