KUANTAN, 22 DISEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyeru agensi-agensi kerajaan yang berkaitan tidak leka dan lebih proaktif melaksanakan tanggungjawab menyelamat mangsa banjir.
Seri Paduka Baginda dalam satu hantaran di Facebook Istana Negara juga meminta supaya pihak yang berkaitan dapat menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, termasuk mangsa banjir di pedalaman dengan cepat.

KDYMM Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika bercemar duli melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Ulu Sungai, PPS Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, PPS Dewan Kampung Sega Lama, PPS SK Muhammad Jabar, Dong dan PPS Balairaya Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di Daerah Raub.
Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka Baginda turut mengulangi titah Baginda supaya ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua PPS bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku
Baginda juga berharap semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan simpati kepada mangsa-mangsa banjir dan menasihati rakyat mematuhi semua arahan dan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang. – PAHANGMEDIA