Oleh : Mahathir Ali
KUANTAN, 22 DDISEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tidak betah duduk diam apabila mendengar musibah banjir melanda sebahagian rakyat jelata.
Meskipun dalam negara masih berdepan pandemik COVID-19, Seri Paduka Baginda berkenan turun padang menyediakan makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Kuantan semalam.
Seri Paduka Baginda memilih untuk memasak sendiri di ruang memasak khas KYP Advanced Skills di Kubang Buaya di sini.
Malah Seri Paduka Baginda membanting tulang hampir 12 jam untuk memasak 13 jenis lauk pauk dan nasi untuk makan tengah hari dan malam bermula jam 8.00 pagi dan berakhir hampir jam 8.00 malam.
Seri Paduka Baginda dibantu seorang pegawai dan 11 anggota dari 4 Briged Mekanize serta 30 pelajar program Kulinari KYP Advance Skills.
KDYMM Raja Permaisuri Agong dilihat memotong sayur, membasuh ikan bilis dan mengacau setiap juadah yang dimasak, malah Seri Paduka Baginda turut bersama-sama pelajar membungkus setiap juadah yang siap dimasak.
Begitulah kasih dan sayangnya Seri Paduka Baginda kepada rakyat Negeri Pahang lebih-lebih lagi kepada mereka yang sedang dalam kesusahan.
Memasak selama 12 jam tanpa henti kecuali untuk menunaikan solat bukanlah satu kerja yang mudah.
Namun Seri Paduka Baginda mampu melakukannya dan membuktikan memasak dengan kasih sayang mampu mengatasi segala rintangan malah timbul perasaan puas dan seronok apa lagi bila mereka yang menjamu masakan air tangan baginda makan dengan penuh selera. – PAHANGMEDIA