Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 21 DISEMBER 2021 : Mangsa banjir orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai dan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Rumbia di sini menerima sumbangan kerusi roda.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar semalam.
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau meninjau dan bertemu dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di SK Temai dan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Rumbia.
“Setakat semalam, seramai 38 mangsa banjir telah dipindahkan ke sini termasuk seorang OKU. Memahami kesukaran yang dihadapi saya telah menyampaikan sumbangan kerusi roda mereka.
“Ketika meninjau PPS ini, saya juga menyampaikan sumbangan dari Kerajaan Pahang yang diluluskan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada Ketua Kampung Temai dan Ketua Kampung Padang Rumbia untuk kegunaan ketika banjir.
“Saya berharap sumbangan tambahan ini dapat digunakan sebaik mungkin terutamanya untuk menguruskan gerak kerja membantu mangsa banjir di kampung yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keadaan cuaca semakin baik namun air Sungai Pahang yang turun dari hulu terus memasuki kawasan kampung yang berhampiran.
“Saya berharap semua penduduk yang berada berhampiran Sungai Pahang sentiasa berhati-hati dan segeralah pindah ke PPS sekiranya air sungai terus meningkat naik,” katanya. – PAHANGMEDIA