KUANTAN, 19 DISEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara yang terpaksa berpindah dari rumah mereka ke pusat pemindahan akibat musibah banjir.
Menurut satu hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat yang terkesan akibat banjir ini supaya bersabar dan redha dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa mereka.
Baginda juga meminta supaya orang ramai mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.
Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semua pihak membuat persediaan rapi memandangkan cuaca diramalkan kurang baik pada bulan ini dan Januari.
KDYMM Yang di-Pertuan Agong juga menyeru agensi-agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah-khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa-mangsa banjir.
Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga cuaca akan bertambah baik dan bencana banjir tidak berlarutan serta fenomena banjir terbesar pada tahun 1971 tidak berulang.
Sebelum itu, baginda berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini. – PAHANGMEDIA