PAHANG CATAT 4,030 MANGSA BANJIR SETAKAT 8 PAGI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 DISEMBER 2021 : Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 4,030 orang melibatkan 1,175 keluarga setakat 8 pagi hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ini kesemua mangsa dipindahkan ke 92 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan lima daerah.

“Di Kuantan, sebanyak 1,713 mangsa daripada 526 keluarga telah dipindahkan ke 14 PPS yang ada, di Raub sebanyak 977 mangsa daripada 292 keluarga dipindahkan ke 29 PPS.

“Di Lipis, sebanyak 488 mangsa daripada 155 keluarga dipindahkan ke 21 PPS, dan di Jerantut sebanyak 466 mangsa daripada 110 keluarga dipindahkan ke 14 PPS setakat ini, dan di Maran sebanyak 386 mangsa daripada 92 keluarga dipindahkan ke 14 PPS,” katanya.

Beliau berkata musibah banjir ini juga telah mengorbankan dua mangsa daripada Kuantan dan Raub setakat ini.

Tambah beliau lagi, kebanyakan sungai juga kini berada pada paras amaran dan berbahaya dan menunjukkan tren meningkat berbanding sebelum ini.

“Bagi daerah Lipis, Sungai Jelai di Bukit Bentong, Sungai Jelai di Jeti Lipis, Sungai Jelai di Jeram Bungor, dan Sungai Lipis berada pada paras berbahaya. Di Jerantut, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Sungai Yap, Sungai Pahang di Paya Gintong, serta Sungai Lipis di Batu Malim di Raub juga telah melebihi paras bahaya.

“Di Bentong, Sungai Triang dan Sungai Bentong juga melepasi paras berbahaya, begitu juga Sungai Serting di Bera. Di Temerloh, Sungai Pahang di Kuala Krau juga telah melepasi tahap bahaya.

“Di Maran pula, Sungai Lembing dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor telah melepasi tahap bahaya. Dan di Kuantan, kesemua sungai iaitu Sungai Lembing, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Sungai Kuantan di Bukit Kenau, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Belat Sri Damai , dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor juga telah melepasi tahap berbahaya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download