Oleh : Mahathir Ali
PEKAN, 14 DISEMBER 2021 : Seluruh rakyat Pahang akan terus setia di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan sepenuh jiwa dan raga.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesetiaan ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang Darul Makmur dan segala jajahan takluknya akan terus dicurah dan ditumpahkan, dengan sepenuh jiwa dan raga.
“Dalam kalangan patik pacal-pacal sekalian, tidak pernah tidak, melainkan sentiasa tersemat dalam sanubari dan terjelma dalam amalan harian, ketaatsetiaan yang tidak pernah berkurang, ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.
“Ketaatsetiaan ini juga tidak sekali-kali dipertaruhkan. Ketaatsetiaan ini tiada galang-gantinya. Ketaatsetiaan ini juga sehinggakan, apa juga yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, pasti mendapat tindak balas segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Persembahan Ucapan Ikrar Taat Setia Sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Turut hadir, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Beliau berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku boleh menerima apa juga pandangan yang dipersembahkan, selagi ia wajar dan munasabah, demi manfaat negeri dan rakyat.
“Oleh itulah, Ikrar Taat Setia yang patik disembahkan ini, sepertimana yang pernah patik sembahkan sebelum ini, turut mengambil kira maksud umum dan lebih luas pepatah Melayu, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
“Begitulah juga ketaatsetiaan patik ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Bersama-sama dengan Ikrar Taat Setia ini pula, tentunya turut disusuli dengan komitmen besar oleh patik pacal-pacal sekalian, dalam memastikan apa juga khidmat yang diberikan, adalah demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat jelata di bawah payungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku,” katanya. – PAHANGMEDIA