YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN TUBUH UNIT PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI PAHANG BARAT PLUS

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
 
KUANTAN, 10 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menubuhkan Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus bertujuan untuk memberi fokus kepada keseimbangan pembangunan di seluruh kawasan Negeri Pahang.
 
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, unit tersebut telah melaksanakan kajian Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus bertujuan mengenalpasti cadangan-cadangan pembangunan yang berpotensi untuk dilaksanakan di kawasan Pahang Barat.

Katanya, ini bagi menyeimbangkan dengan pembangunan Pahang Timur sekaligus dapat menyamaratakan projek-projek di antara daerah di negeri ini.
 
“Hasil daripada Pelan Kajian Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus telah mencadangkan lima kluster industri utama untuk meningkatkan pelaburan dan pembangunan ekonomi Pahang Barat Plus iaitu kluster pelancongan, kluster pertanian, kluster perkayuan, kluster mineral dan kluster perkhidmatan.
 
“InsyaAllah dengan kerjasama dan kesungguhan semua pihak bagi menjayakan sejumlah 60 cadangan-cadangan intervensi quick wins, jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, jurang pembangunan antara Pahang Timur dan Pahang Barat dapat dikecilkan.
 
“Untuk makluman, Kajian Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus akan dimuktamadkan pada Disember 2021,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Katanya, kira-kira 8,000 peluang pekerjaan telah ditawarkan melibatkan pelbagai sektor melalui pelaburan yang diterima secara berfasa berdasarkan jumlah pelaburan di Pahang yang diperoleh pada tahun 2021. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download