Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI : PERANCANGAN TELITI ATASI KONFLIK GAJAH DAN MANUSIA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 DISEMBER 2021 : Perancangan jangka masa pendek dan panjang telah diambil oleh Jabatan Perhilitan bagi menangani konflik gajah dan manusia secara lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, perancangan jangka pendek ialah operasi tangkap pindah gajah di mana sehingga Oktober lalu sebanyak 13 ekor gajah telah ditangkap pindah.

“Bagi jangka masa panjang pula Jabatan Perhilitan telah membina pagar elektrik gajah atau lebih dikenali sebagai Sistem Pemasangan Pagar Elektrik Gajah (SPEG).

“Pemasangan telah dilakukan di Kampung Som, Jerantut (sepanjang 18 kilometer), Kampung Sementah, Temerloh (7.3 kilometer) dan di Kampung Asli Mentelong, Rompin (2 kilometer) melibatkan kos pembinaan keseluruhan RM1.28 juta dan kos penyelenggaraan tahunan sebanyak RM158,789,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhilitan juga sedang berusaha untuk mendapatkan kolar satelit gajah bagi dipasang kepada kumpulan gajah.

“Ia satu kaedah sistem pengesanan awal yang membolehkan pergerakan gajah di kawasan konflik dapat dikesan lebih awal dan tidakan menghalau gajah-gajah liar dapat dilakukan oleh penduduk sebelum ia memasuki kawasan pertanian dan kebun tanaman,” katanya.

Menyentuh berkenaan sebarang bentuk pampasan atas kerugian, beliau berkata secara dasarnya Jabatan Pertanian tidak mempunyai insentif khas kepada petani yang mengalami kerosakan akibat serangan gajah.

“Namun begitu, ada peruntukan one-off daripada Kerajaan Persekutuan yang boleh dimohon bagi mengatasi masalah kemusnahan projek akibat serangan gajah berbentuk insentif kerja-kerja pembinaan infrastruktur seperti pembinaan pagar elektrik dan parit gajah di TKPM Kota Perdana, Pekan dan TKPM Muadzam, Rompin pada tahun lalu,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download