Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 09 DISEMBER 2021 : Pengendali satelit MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT) telah memasang 231 perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tingginya, CONNECTme NOW di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata perkhidmatan ini dipasang terutamanya di tiga daerah iaitu Cameron Highlands, Lipis, dan Jerantut.
“Prasarana ini memberi banyak manfaat kepada perkampungan Orang Asli dan komuniti pertanian di kawasan-kawasan terpencil di Pahang.
“Untuk makluman, CONNECTme NOW adalah prasarana satelit yang sangat efektif untuk kawasan perkampungan luar bandar, pengguna boleh mengakses internet melalui prasarana WiFi hotspot yang telah dipasang dengan hanya membeli baucar pra-bayar ‘Prepaid Access Code ((PAC)’ yang bernilai antara RM10 hingga RM40 sebulan untuk data 1GB sehingga 5GB.
“Buat masa ini, tiada subsidi Kerajaan yang diberikan kepada perkhidmatan CONNECTme NOW,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Chiong Yoke Kong semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
ADN Tanah Rata sebelum itu bertanyakan mengenai liputan internet menggunakan satelit MEASAT serta kadar harga data khusunya bagi kawasan luar bandar.
Menurut beliau, 69 buah Kampung Orang Asli telah dan akan menerima capaian internet melalui projek Broadband Wireless Access (BWA).
“Projek ini (BWA) memberikan capaian internet di 69 buah Kampung Orang Asli yang telah dikenalpasti di Negeri Pahang dan pada masa ini sedang dilaksanakan yang dijangkakan akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2022.
“Ianya menyediakan capaian internet kepada masyarakat Orang Asli secara percuma untuk tempoh dua tahun.
“Pelaksanaan projek ini melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya.
Beliau berkata, bagi kawasan luar bandar beberapa lagi projek berkaitan sedang dijalankan bagi menyediakan capaian internet yang baik.
“Manakala bagi kawasan luar bandar pula yang mempunyai sambungan melalui teknologi gelombang mikro dan gentian optik, projek pembinaan menara dan naik taraf stesen pemancar sedang giat dijalankan,” katanya. -PAHANGMEDIA