Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 8 DISEMBER 2021 : Tindakan kerajaan membenarkan kawasan pocket land di kawasan Felda dijadikan tapak rumah bagi generasi muda amat dihargai.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Sharim Md Zain berkata, usaha berkenaan memberi sinar kepada generasi muda untuk membina kehidupan yang lebih baik.
“Saya juga selaku anak peneroka menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar yang menitikberatkan golongan generasi baru felda.
“Usaha berkenaan melibatkan 115 buah Rancangan Felda di Negeri Pahang dan mereka yang tinggal bersama ibu bapa sekian lama kini berpeluang untuk memiliki tapak rumah sendiri dalam rancangan felda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut membangkitkan berkenaan keperluan pusat hemodialisis di Klinik Kesihatan Chini seperti mana yang diumumkan dalam media oleh Menteri Kesihatan ketika lawatan ke Klinik Kesihatan Chini pada Jun tahun lalu dapat disegerakan kewujudannya.
Beliau turut berharap agar keperluan baik pulih atap rumah kepada penduduk kampung tradisional dan penduduk kampung orang asli yang daif mendapat perhatian sewajarnya.
“Dengan pelbagai inisiatif kerajaan negeri, saya berharap peluang kerja bagi menambah pendapatan kepada ibu-ibu tunggal muda untuk perbelanjaan harian keluarga.
“Perhatian juga perlu diberikan kepada penjaja – penjaja kecil yang berniaga di tepi jalan raya untuk mendapatkan bantuan pinjaman kewangan bagi membantu menambahbaik perniagaan mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA