Cadangan bentuk Jambatan Baru Kedua Temerloh - Gambar hiasan

SIDANG DEWAN NEGERI : MASJID KAMPUNG TEBAL PERLU ADA GANTI

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 8 DISEMBER 2021 : Pembinaan jambatan kedua temerloh bakal melibatkan perubahan Masjid Kampung Tebal dan ia memerlukan peruntukan bagi memastikan ia dapat terus dimanfaat oleh penduduk setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Mat Ludin berkata, Temerloh telah terima dua jambatan baharu termasuk sebuah jambatan yang merentangi Sungai Pahang untuk laluan ECRL.

“Jambatan kedua Temerloh ini telah menerima kelulusan sejak zaman Dato’ Sri Najib Tun Razak dan projek ini menelan belanja sebanyak RM146.37 juta. Bagaimanapun, pada mesyuarat penyelarasan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa kos bina semula Masjid Kampung Tebal berjumlah RM3 juta tidak termasuk sekali dalam kos berkenaan.

“Masjid ini melibatkan penduduk di lima buah kampung dan lebih sepuluh buah kampung sekitar. Jadi saya ingin menuntut pihak kerajaan bagi memastikan masjid ini tidak dirobohkan selagi tiada masjid ganti untuk pastikan kemudahan penduduk untuk ibadah tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu dalam sesi sama beliau turut mencadangkan agar Dewan Belia Negeri dapat diteruskan sebagai satu usaha negeri Pahang melahirkan pelapis pemimpin pada masa akan datang.

“Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Sukarelawan Tunas Warisan, Akademi Tokwan merupakan antara produk Kerajaan Negeri untuk beri pendedahan kepada pemimpin pelapis dan ia wajar diteruskan.

“Saya ingin mencadangkan agar Dewan Belia Negeri Pahang dapat diteruskan di mana mereka akan terlibat dalam suasana persidangan tersebut seperti sidang Dun yang cukup berprestij ini dengan diberi ilmu dan pendedahan sebenar,” katanya.

Katanya lagi, segala pandangan golongan belia ini diharap dapat didengari dan dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri sekaligus menjadikan mereka lebih berminat untuk bersama-sama menabur jasa demi pembangunan dan kesejahteraan di negeri ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download