Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2021 : Permohonan bagi kawasan gantian rumah terbakar di Sungai Lembing adalah dalam tindakan pindaan pelan untuk tujuh tapak gantian/pelan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda berkata, hal ini disebabkan cadangan asal kawasan gantian berada di atas kawasan yang tidak sesuai kerana berbukit atau bercerun.
“Perkara ini telah diambil tindakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan dan status permohonan adalah dalam tindakan pindaan pelan dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPTD) telah menyokong dan bersetuju dengan cadangan pindaan kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md.Sohaimi Haji Mohamed Shah pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Abd Rahim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah pun melakukan kerja pembersihan di kawasan rumah kedai yang terbakar dan menaiktaraf kawasan berkenaan kepada dataran.
Namun jelasnya, pihak majlis tidak terlibat dalam menguruskan penghuni dan pemilik-pemilik rumah kedai yang terbakar tersebut.
Tambahnya, kesemua mangsa kebakaran seramai 32 orang telah diberikan bantuan di bawah Tabung Malapetaka Daerah (TMD) dari Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) dengan peruntukan RM31,500.
Selain itu, mangsa turut diberikan bantuan keperluan asas seperti toto, selimut, kain batik, kain pelikat dan tuala oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuantan yang telah dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa hari kejadian. – PAHANGMEDIA