Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang masih menunggu kelulusan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di peringkat persekutuan sebelum Jabatan Kehakiman Syariah Pahang dapat melakukan sebarang usaha dan penyelarasan di peringkat jabatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sekiranya RUU 355 ini telah diluluskan di peringkat persekutuan, Kerajaan Pahang bersetuju dan menyokong penuh usaha pelaksanaan tersebut di peringkat negeri.
“Apa yang parlimen persetujui nanti RUU 355, seandainya dibentang dan diperakui sudah tentu negeri akan ikut,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Sementara itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut mencelah, menyatakan bahawa sebarang perlaksanaan RUU 355 di peringat negeri memerlukan kelulusan dan persetujuan daripada kedua-dua pihak melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. – PAHANGMEDIA