Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2021: Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM3.64 juta bagi 25 projek di Pahang di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan Kawasan Pelancongan Negeri Pahang 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, antara fokusnya adalah untuk membaik pulih kemudahan yang telah rosak dan membina keselesaan kepada pengunjung.
“Kerajaan negeri sentiasa menjalankan promosi bagi menarik pelancong tempatan dan luar negara ke kawasan baru pelancongan di Pahang melalui Tourism Pahang.
“Selain itu, kerajaan juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mempromosikan kawasan pelancongan di Pahang.
“Pihak kerajaan juga akan menambahbaik beberapa lokasi pelancongan baru dan lama bagi tujuan promosi seperti Titik Tengah Semenanjung Malaysia di Temerloh, Taman Negeri Rompin, Sungai Lembing El Dorado of the East dan Lubuk Yu di Maran,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Samsiah Arshad pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang telah menyalurkan sejumlah RM600,000 bantuan kepada pemain-pemain industri pelancongan bermula tahun 2020.
Antara bantuan yang telah disalurkan ialah Bantuan Khas Kepada Pemandu Pelancong dan Pengusaha Bot Pelancongan Pahang, Bantuan Prihatin COVID-19 kepada Pemandu Pelancong dan Pengusaha Pelancongan Pahang, Bantuan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sektor Pelancongan.
“Selain itu, kerajaan turut menyumbangkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 1.0 hingga BPP 3.0 serta Baucar Pelancongan menggunakan aplikasi PahangGo,” katanya. – PAHANGMEDIA