YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI: 271 PROJEK PEMBANGUNAN NEGERI PAHANG DISAMBUNG DI BAWAH RMK-12

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 8 DISEMBER 2021 : Sebanyak 271 projek pembangunan di Pahang yang tidak dapat disiapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) akan disambung perlaksanaannya di bawah RMK-12 merangkumi pelbagai kementerian dan kategori projek.
 
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua projek terbabit melibatkan pelbagai daerah di seluruh negeri ini termasuklah projek fizikal dan bukan fizikal dengan kos keseluruhan RM19.894 bilion.
 
“Secara ringkasnya mengikut pembahagian daerah, sebanyak 16 projek melibatkan daerah Bentong dengan kos RM1.632 bilion, Bera melibatkan 20 projek dengan kos RM1.011 bilion, Cameron Highlands 11 projek dengan kos RM221 juta dan Jerantut 26 projek dengan kos RM1.7 bilion.
 
“Daerah Kuantan pula melibatkan sebanyak 48 projek dengan kos RM6.36 bilion, Lipis 21 projek dengan kos RM2 bilion, Maran pula 10 projek dengan kos RM513 juta, Pekan 46 projek dengan kos RM2.4 bilion, Raub 23 projek dengan kos RM2 bilion, Rompin 16 projek dengan kos RM179 juta, Temerloh 21 projek melibatkan RM805 juta dan daerah-daerah lain dengan 13 projek dengan kos RM972 juta,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah mendapatkan satu persefahaman bersama Kerajaan Persekutuan bagi memantau beberapa ‘projek sakit’ di bawah kementerian bagi mengatasi permasalahan tersebut.
 
“Kerajaan juga akan berusaha untuk meminimakan supaya projek-projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan tidak perlu dibawa ke RMK berikutnya,” katanya.
 
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menjawab kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB. Encik Lee Chin Chen yang mengajukan persoalan tentang Central Spine Road (CSR) melibatkan laluan Bentong-Simpang Pelangai.
 
“Kerajaan Pahang sentiasa memperjuangkan bagi memastikan CSR Bentong-Simpang Pelangai dapat diteruskan menerusi perbincangan dengan pihak Kerajaan Pusat,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download