YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Jamuan Malam YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Kumpulan Profesional Muda Negeri Pahang Darul Makmur yang diadakan di Dewan Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Pahang di Kuantan, malam tadi.

KERAJAAN NEGERI TARIK PENGLIBATAN KUMPULAN PROFESIONAL MUDA PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 7 DISEMBER 2021 : Kerajaan negeri menarik penglibatan golongan profesional muda Pahang untuk sama-sama membantu pembangunan negeri ini.
 
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan sangat memerlukan idea dan pandangan golongan terbabit kerana yakin bahawa mereka adalah perintis kepada masa hadapan.
 
“Bagi Negeri Pahang, saya sangat mengalu-alukan sokongan daripada anak-anak muda profesional sebabnya anda semua merupakan orang yang cerdik, boleh berfikir, tidak mudah dipengaruhi dan boleh menilai kebenaran sesuatu perkara, jadi bantulah Kerajaan Pahang”, katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Kumpulan Profesional Muda Negeri Pahang Darul Makmur yang diadakan di Dewan Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Pahang di Kuantan, malam tadi.
 
Majlis tersebut dihadiri seramai 70 orang golongan profesional Pahang yang bertugas di seluruh Malaysia.
 
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Encik Izzat Afifi Abd Hamid, Naib Pengerusi 1 Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Encik Mohd Farid Mohd Nor dan wakil kumpulan profesional Pahang, Encik Mohd Mahfuz Mohd Ramli.
 
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menasihati golongan terbabit agar dapat mengurus kerjaya masing-masing dengan bijak meski pun mempunyai minat yang berbeza daripada kerjaya yang dimiliki.
 
“Jadi kepada anak-anak semua saya ingin berpesan, jika berminat dalam apa-apa bidang sama ada politik dan sebagainya, aturlah elok-elok, tetapi kerja jangan tinggal dan follow the flow”, katanya.
 
Beliau juga turut mengingatkan mereka supaya dapat terus berjasa kepada Pahang meski pun bertugas di luar negeri ini demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat tempatan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download