YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

BELANJAWAN PAHANG : 96.9 PERATUS KAWASAN DI NEGERI INI TERIMA LIPUTAN 4G

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : 96.9 peratus kawasan di negeri ini akan menerima liputan jalur lebar 4G menjelang tahun 2022.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata liputan dengan kelajuan 35Mbps dapat dicapai dengan pembinaan 270 menara baharu.

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan Pelan Digital Negeri Pahang yang menjadi peneraju untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan negeri yang mampan digital 2021 sehingga 2025.

“Seluruh Negeri Pahang akan mendapat liputan jalur lebar 4G dengan kelajuan sehingga 35Mbps dengan mencapai liputan 4G sebanyak 96.9 peratus menjelang tahun 2022 melalui pembinaan 270 buah bilangan menara baru dengan liputan 4G sehingga hujung tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Pahang juga akan menaik taraf stesen pemancar sedia ada dari rangkaian 2G dan 3G kepada 4G.

“…di kawasan penempatan luar bandar, pedalaman, kampung tradisional, kawasan penempatan berkelompok (FELDA, FELCRA, RTP, RPS) dan jalan raya luar bandar. Sebanyak 893 buah pemancar akan dinaik taraf di seluruh Negeri Pahang.

“Menaik taraf rangkaian jalur lebar tetap kepada gentian optik yang membolehkan capaian berkeupayaan Gigabit mencapai 83 peratus di seluruh Pahang.

“Kemudahan akses jalur lebar tanpa wayar satelit mencapai kelajuan purata sehingga 35Mbps di perkampungan Orang Asli. Oleh itu, komuniti Orang Asli di 69 buah perkampungan dapat menikmati kemudahan akses jalur lebar sebelum suku kedua tahun 2022,” katanya.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan Rangkaian 5G juga akan dijalankan di lokasi terpilih di negeri ini.

“Projek Perintis Rangkaian 5G akan dilaksanakan di Pusat Bandar Kuantan, Indera Mahkota dan KotaSAS.

“Infrastruktur Akses Terbuka bagi capaian internet jalur lebar akan dilaksanakan di Kuantan, Pekan dan Cameron Highlands,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download