Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10.35 juta bagi Rancangan Pemulihan Koridor dan kerja-kerja membina infrastruktur di skim pengairan paya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi mengurangkan risiko banjir kepada penduduk sekitar.
“Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10.35 juta dengan memfokuskan kepada Rancangan Pemulihan Koridor di Lembangan Sungai Negeri Pahang serta kerja-kerja membina infrastruktur di skim pengairan paya di Daerah Maran.
“Bagi Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kuantan untuk Fasa II dan III, ianya dijadualkan akan ditender pada awal tahun 2022. Tujuan utama projek ini adalah untuk mengurangkan risiko banjir kepada penduduk di sekitar Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Beliau berkata selain itu Projek Rancangan Saliran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng, Kuantan akan dilaksanakan untuk membina saliran bagi kawasan perindustrian MCKIP dan menaik taraf sungai di Sungai Ular.
“Selain daripada itu, bagi tahun 2022, Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang berjumlah RM40 juta ini diharapkan dapat menarik minat pelabur-pelabur untuk melabur di kawasan Perindustrian Gebeng di Negeri Pahang.
Tambah beliau, bagi peruntukan pembangunan bawah Kerajaan Negeri pula, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM4.9 juta ringgit untuk tahun ini.
“Peruntukan ini adalah untuk membina projek-projek tebatan banjir dan pemuliharaan sungai- sungai di Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA