YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

BELANJAWAN PAHANG : KERAJAAN PAHANG PERKENAL KAD PELAJAR KEBANGGAAN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri Pahang akan memperkenalkan Kad Pelajar Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Student) kepada pelajar sekolah di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kad ini akan diberikan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) dari kumpulan B40 dan M40.

“Dengan kad ini, pembeli akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus pada setiap perbelanjaan keperluan persekolahan, termasuklah buku, pakaian sekolah, beg sekolah dan alat tulis yang terpilih.

“Kad ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama MBS Book & Stationeries, sebuah syarikat swasta milik anak kelahiran Pahang yang telah memulakan perniagaan semenjak 40 tahun yang lalu.

“Kad Kebanggaan Pelajar Pahang ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 238,455 pelajar dari keluarga B40 dan M40 dalam Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4.87 juta bagi bantuan persekolahan kepada 48,711 pelajar dalam kategori keluarga miskin di seluruh Negeri Pahang.

“Tambahan daripada itu, bagi meringankan lagi beban ibu bapa dalam kategori golongan miskin, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan tambah nilai sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di bawah kategori keluarga miskin yang akan dikreditkan ke dalam kad diskaun Kebanggaan Pelajar Pahang.

“Selain menikmati potongan harga sebanyak 20 peratus tadi, ibu bapa dalam kategori golongan miskin ini akan mendapat bantuan bagi membeli set bantuan persekolahan bernilai sebanyak RM100 yang akan lebih meringankan lagi beban mereka,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM2.23 juta bagi program sokongan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) yang kini secara rasmi dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS). -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download