Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.66 juta untuk tahun 2022 bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan untuk semua Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini sebagai tanda Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian yang serius terhadap aspek keselamatan dan keselesaan semua penghuni PAKR.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.66 juta untuk tahun 2022 bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan untuk semua PAKR antaranya PAKR Sg. Pandan, Kuantan, Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Rumah Pangsa Pak Mahat, Tanjung Lumpur, Kuantan dan PAKR-PAKR lain di seluruh negeri.
“Kerajaan Negeri meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM400 ribu lagi bagi kerja-kerja penyelenggaraan PPRS Rumah Pangsa Pak Mahat, Kuantan bagi meningkatkan kekerapan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Bagi penghuni PAKR yang telah menjelaskan keseluruhan bayaran ansuran unit masing-masing, mereka akan diberi pemilikan unit-unit PAKR tersebut. Sebanyak 448 hakmilik akan dikeluarkan pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan supaya pembangunan semula baki 1,200 unit PAKR Sungai Pandan akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
“PAKR Sungai Pandan, Kuantan adalah satu projek yang melibatkan pembangunan 2,000 unit rumah PAKR. Pembangunan semula ini akan berkonsepkan pembangunan berstrata bagi mengatasi isu banjir yang pernah dialami di lokasi tersebut,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan membuat penawaran sebanyak 300 unit rumah di tiga Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM) bagi tahun hadapan.
“Antara projek yang akan ditawarkan kepada rakyat adalah Projek PPRM Inderapura Kuantan, Projek PPRM Pulau Manis Kuantan, dan Projek PPRM Luit Maran yang mana setiap satunya terdiri daripada 100 unit rumah kos rendah.
“Penawaran unit-unit rumah PPRM ini akan dapat meringankan beban rakyat daripada aspek pembayaran sewa dan membolehkan penerima PPRM memiliki aset kekal sendiri sebagai satu jaminan kelangsungan hidup,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan dasar perumahan khusus bagi penjawat awam yang dikenali sebagai Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP) pada tahun ini.
“Projek ini menawarkan tiga kategori harga jualan bermula daripada RM120 ribu bagi rumah teres setingkat dan pangsapuri serta sehingga RM450 ribu bagi rumah banglo setingkat. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar seluas 80 ekar tanah bagi projek RPAP di KotaSAS.
“Kerajaan Negeri juga tidak sesekali melupakan keperluan rakyat yang memerlukan bantuan baik pulih terhadap rumah yang mereka sedang diami. Oleh itu, bantuan baik pulih bawah Peruntukan Pembangunan Pejabat SUK Pahang diteruskan pada tahun 2022 dengan peruntukan sebanyak RM3.7 juta,” katanya – PAHANGMEDIA