Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN TELAH KAJI HARGA TIKET ZOO TERUNTUM

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi & Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang telah meneliti dan mengkaji kadar harga tiket di Zoo Teruntum, Kuantan yang akan dikenakan kepada pengunjung apabila zoo terbabit beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, kadar penetapan harga terbabit telah diputuskan selepas pihak kerajaan membuat perbandingan dengan beberapa lokasi pelancongan lain di negeri ini.

Ia juga dibuat setelah mengambil kira pelbagai kemudahan dan tarikan terbaharu di zoo terbabit yang kini menggunakan teknologi hibrid dengan teknologi terkini yang lebih canggih dan menarik.

“Sebelum setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan sama ada untuk menurun atau menaikkan cukai, menaikkan harga tiket atau mengenakan cas dan sebagainya, sebelum itu kita akan membuat perbandingan dengan tempat-tempat yang lain.

“Jadi kita dapati bahawa kalau hendak dibandingkan dengan zoo atau pun tempat-tempat yang lain kita adalah sejajar dan setanding walau bagaimanapun kita menyambut baik cadangan ini, kita mungkin boleh buat, tetapi tak janji, mungkin ada voucher tertentu untuk lima orang, 10 orang atau berkeluarga. Ini mungkin boleh dilaksanakan supaya dapat mempertingkatkan jumlah orang yang akan mengunjungi zoo”, katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Bagaimana pun, beliau berkata, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan bagi pengurangan harga tiket dengan menawarkan pakej-pakej tertentu yang bersesuaian atau pun harga istimewa kepada penduduk tempatan.

Dinosour Encounter merupakan tarikan baharu yang diwujudkan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Zoo Teruntum dengan jumlah pelaburan sebanyak RM12 juta daripada syarikat swasta Wegrow Global Sdn Bhd (WGG).

Menerusi penaiktarafan ini, Zoo Mini Teruntum akan diperkenalkan semula dengan nama baharu Zoo Teruntum yang merupakan Zoo Hibrid pertama di dunia yang menggabungkan elemen haiwan hidup dan haiwan animatronik di sekitar landskap.

WGG turut membawa Dinosour Encounter yang pernah dibangunkan di Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur dan Zoo Melaka di mana kali ini Dinosour Encounter membawa 30 spesies dinosour herbivor dan karnivor untuk dipertontonkan kepada pengunjung. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download