Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 05 DISEMBER 2021 : Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini diarahkan bersiap sedia segera bagi menghadapi musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata persediaan ini meliputi kawasan yang dikenalpasti terlibat banjir.
“Semua PBT kena bersiap sedia bermula sekarang bagi membersihkan longkang-longkang yang dikenalpasti sebagai lokasi yang terlibat dengan banjir.
“Kita minta mereka buat pemantauan secara berterusan jika terdapat masalah berkaitan sampah dan sebagainya yang menyebabkan banjir,” katanya ketika ditemui oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
Beliau berkata namun demikian sekiranya banjir disebabkan oleh jumlah hujan yang lebih berbanding biasa, perkara itu memerlukan penyelesaian jangka masa panjang.
“Tapi kalau hujan lebat turun lebih dari biasa, itu kita tak boleh buat apa kerana ia melebihi jumlah air yang dapat ditampung oleh longkang dan saliran yang ada.
“Tetapi buat jangka masa panjang, kita ada beberapa cadangan untuk mengelakkan masalah ini dan buat jangka masa pendek kita akan buat pemantauan,” katanya.
Tambah beliau lagi, berdasarkan jangkaan, banjir pada tahun ini akan berlaku di kawasan pantai dan pihaknya juga telah membersihkan saliran yang dijangka boleh menyebabkan banjir.
“Kita juga telah menggerakkan satu task force team bagi aduan-aduan sampah yang tidak diselenggara dengan baik,” katanya. -PAHANGMEDIA