Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 5 DISEMBER 2021: Seramai 28 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Dewan Negeri Bebar menerima sumbangan peralatan untuk musim tengkujuh.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang/ Ahli Dewan Negeri Bebar, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff di Pusat Khidmat Rakyat Bebar, Pekan semalam.
Mereka juga turut menerima sumbangan kewangan sebagai persiapan kegunaan segera jika terjadinya banjir.
Kesemua sumbangan ini adalah peruntukkan daripada Kerajaan Pahang yang diluluskan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan YB Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Menurut YB Dato’ Haji Fakhruddin, peralatan yang disumbangkan ini dapat digunakan oleh Ketua Kampung sekiranya terjadi banjir ketika terlibat urusan pemindahan mangsa banjir, pengagihan bantuan dan mesin ChainSaw yang diberikan dapat digunakan memotong segera pokok-pokok yang tumbang.
“Inilah Kerajaan Pahang ditunjangi UMNO yang tidak pernah lupa nasib Ketua-ketua kampung di negeri ini dan bukti Kerajaan Pahang mengambil berat keselamatan Ketua-ketua Kampung di musim tengkujuh ini termasuklah di kampung Orang Asli.
“Janganlah kita (Ketua Kampung) lupa nasib yang pernah menimpa JPKK di Pahang selepas Kerajaan BN jatuh pada PRU-14 lalu. YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail lah yang mempertahankan dan bangkit untuk membela nasib Pengerusi JPKK/JPKKOA di seluruh negeri ini.
“YAB Menteri Besar berpendirian tegas terhadap kerajaan PH ketika itu yang juga telah menubuhkan MPKK dan tidak mahu membayar elaun JKKK kita di Pahang Ketika itu, dimana Kerajaan Pahang akan membayar sendiri semua peruntukan elaun JPKK/ JPKKOA di negeri ini walaupun ketika itu bajet kita amat terhad,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua Ketua Kampung di Bebar untuk mengenang dan menghargai jasa Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak yang tetap berterusan membantu penduduk Pekan walaupun sedang menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua Pengerusi JPKK dan JPKKOA di DN Bebar yang dilihatnya telah bekerja keras menjaga kampung dan penduduk dengan sebaik mungkin serta berharap mereka meneruskan usaha gigih ini dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh demi memastikan Negeri Pahang terus aman, maju dan makmur.
Beliau juga mengajak semua Ketua Kampung dan kepimpinan di DN Bebar untuk mengikuti Sidang Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 yang akan bermula pada 6 Disember hingga 10 Disember ini melalui media-media milik Kerajaan pahang dan mengambil maklumat penting berkenaan usaha, perancangan Kerajaan Negeri dan terangkan semula kepada penduduk di kampung. – PAHANGMEDIA