Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 04 DISEMBER 2021 : Satu kajian teliti melibatkan kondisi jalan dan aliran air perlu dibuat bagi pembinaan jalan yang akan dilakukan pada masa hadapan terutamanya di kawasan tanah tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata kajian ini perlu dibuat bagi mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh.
“Pembinaan pada masa akan datang ini perlu melihat juga laluan air dan sebagainya sebab kalau kita tengok, jalan Cameron Highlands dan Fraser Hill yang lama, dia tak banyak runtuh.

“Jalan tu dah lama dah, tapi dia runtuh tak seteruk runtuh yang berlaku di jalan-jalan baharu.
“Contoh macam jalan ke Fraser Hill, jalan itu dah lama dibina, sejak zaman penjajah lagi, tapi jalan tu tetap elok. Ada runtuh, tapi bukan major runtuh. Jadi kita kena belajar macam mana mereka cari aliran jalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Dato’ Sri Sharkar E-Sports Championship League Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak hari ini.
Beliau berkata bagi jalan sedia ada yang telah dibina, pemantauan perlu dilakukan secara kerap dan berterusan.
“Kajian itu bagi jalan-jalan yang akan dibuat, bagi jalan yang dah dibuat, satu pemantauan secara kerap perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata liga sukan dalam talian ini merupakan satu platform untuk merapatkan silaturrahim di antara pemain.
“Ini satu platform untuk kita semua berkenalan antara satu sama lain, kadang-kandang kita hanya berjumpa di peringkat alam maya sahaja.
“Dan ini juga sebagai sebahagian usaha kita untuk mempromosi Temerloh di dalam pelancongan dan bidang lain kepada masyarakat,” katanya.
Seramai 54 pasukan iaitu 216 peserta berusia 18 tahun sehingga 40 tahun menyertai pertandingan ini yang melibatkan dua peringkat iaitu antara Dewan Negeri (DN) dan Parlimen Temeloh. -PAHANGMEDIA