Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 01 DISEMBER 2021 : Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini akan menubuhkan Jawatankuasa Undi 18 bagi memastikan golongan muda di Pahang mempunyai hala tuju yang jelas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, jawatankuasa ini berbeza daripada yang telah ditubuhkan oleh parti.
“Jawatankuasa khas ini di peringkat kami, di mana dari segi parti mereka dah ada jentera mereka, tetapi jawatankuasa ini diwujudkan dikalangan belia dan anak-anak muda.

“Mungkin kita akan berkolaborasi dengan pihak parti dan pihak lain yang turut akan membantu dari segi perspektif bagaimana ia dapat dijalankan dengan lebih teratur dan jelas.
“Kita nak libatkan anak-anak muda dalam NGO dan persatuan-persatuan ini, yang ada ramai anak muda bukan kita nak ajak mereka berparti, tapi nak ada satu bimbingan bagaimana Undi 18 ini boleh dimanfaatkan oleh anak muda bagi kesinambungan masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Majlis Penyerahan Cek Sumbangan YAB Menteri Besar di Stadium Darul Makmur.
Sebanyak RM150,000 disumbangkan oleh Kerajaan Pahang kepada persatuan belia, NGO dan atlet terutama mereka yang terjejas dengan pandemik COVID-19 dan bantuan bencana.
Tambah beliau lagi, pemilihan ahli bagi jawatankuasa ini juga sedang diperhalusi bagi memastikan ianya dapat mencapai tujuan penubuhan.
“Buat masa ini kita mencadangkan seramai sepuluh orang akan dipilih bagi jawatankuasa ini dan mereka ini terdiri daripada pelbagai agensi dan pertubuhan belia seperti JBS (Jabatan Belia Sukan), MBN (Majlis Belia Pahang) dan lain-lain,” katanya.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun telah dipinda pada 2019 dengan jangka masa pelaksanaan ialah sehingga 2023. -PAHANGMEDIA